PUTRAJAYA: Semua anggota perkhidmatan awam perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat seiring pengumuman kenaikan gaji, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata, pengumuman yang baik itu perlu disusuli penyampaian perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan memuaskan hati rakyat.

"Pada saya ini sesuatu yang sangat baik untuk penjawat awam atas keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana kita sudah lebih 12 tahun tidak ada penyelarasan yang dilaksanakan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja 2024, di sini, pada Rabu.

Anwar dalam ucapannya sempena sambutan itu hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah.

Senada dengan Wan Ahmad Dahlan, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, perkhidmatan yang cekap dan baik kepada rakyat akan memberi kesan positif kepada kerajaan.

"Penjawat awam sebagai pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi, maka mereka perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta tanggungjawab," katanya.

Adnan berkata, sekiranya anggota penjawat awam adalah mereka yang berkualiti, berkebolehan tinggi, tangkas dan memenuhi harapan pelanggan, ia dapat mengurangkan aduan serta rungutan rakyat terhadap perkhidmatan sektor kerajaan.

"Tiada makna (pengumuman ini) sekiranya hanya dinikmati oleh anggota perkhidmatan awam sahaja, sebaliknya ia perlu dinikmati oleh rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang menyifatkan ia sebagai pengumuman yang mampu memberikan momentum positif kepada warga pendidik dalam melahirkan anak bangsa yang berilmu dan berakhlak mulia.

"NUTP harap pengumuman ini akan beri semangat kepada warga pendidik yang merupakan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negara ini. Kita perlu terus didik anak bangsa demi negara ini," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata, kenaikan gaji lebih 13 peratus amat memotivasikan penjawat awam khususnya anggota bomba.

Beliau berkata, pengumuman itu memberi impak tinggi dalam meningkatkan produktiviti dan memberi cabaran baharu kepada JBPM untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat negara ini.
- BERNAMA